MAKKAH, 12 Jun- Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat sejarah baharu apabila berjaya menyediakan perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik, ATM pertama di bangunan penginapan jemaah haji, di sini.
Mesin yang disediakan di bangunan Abraj Al Janadriyah di zon A itu dijangka mampu memberi kemudahan kepada kira-kira 8,000 jemaah.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata inisiatif itu berjaya dijalankan dengan kerjasama bank Al-inma dan pengurusan bangunan Abraj Al Janadriyah.
Pihak bank juga akan memastikan kualiti perkhidmatan mesin tersebut tidak menghadapi gangguan atau tergendala.
"Yang penting apabila wang berkurang, pihak bank akan menambah jumlah wang dalam mesin. Harap perkhidmatan bank Al-inma dapat berterusan dan tidak ada perkhidmatan terhenti," katanya.
(Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman)
Beliau ditemui semasa pelancaran mesin ATM di lobi Abraj Al Janadriyah, di sini.
Ia merupakan mesin pertama seumpananya di bangunan maktab milik Tabung Haji.
Rata-rata jemaah haji menyambut baik usaha TH, berikutan sebelum ini perlu berjalan lebih 750 meter untuk melakukan transaksi atau pengeluaran wang daripada ATM.
"Kami yang duduk di hotel ini terpaksa ke bangunan safwah untuk pengeluaran wang…sekarang alhamdulillah," kata Ahmad Nizam Saupi.
"Alhamdullillah…sekarang kami tidak lagi perlu jalan jauh, lebih mudahlah untuk para jemaah keluarkan duit," menurut Harlina Mat Jusoh.
"Semua rakan pun bersyukur dengan adanya mesin ATM yang dekat dengan penginapan jemaah kita," jelas Mohd Tasrib Mar Pongi.