fb fb fb fb fb

Merakyatkan R&D, misi FRIM lahir usahawan luar bandar melalui produk herba

Foto fail

KUALA LUMPUR, 4 Julai - “Merakyatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui pendekatan teknologi” menjadi misi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk melahirkan usahawan luar bandar dalam industri berpontensi besar seperti herba.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Ismail Parlan berkata melalui Inisiatif Memperkasakan Produk Herba Berasaskan Komuniti, FRIM mahu berkongsi kepakaran dengan usahawan berminat mengusahakan produk herba sekali gus membangunkan ekonomi setempat.

“Maksudnya, bila kita ada produk yang berasaskan herba, R&D akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pembelian produk itu.

“Kita tak mahu apabila cakap tentang R&D, orang tidak tahu manfaatnya, apa hasilnya sampai berbilion kerajaan peruntukan untuk R&D. Oleh itu, kita mahu rakyat sama-sama menikmati manfaat hasil dapatan R&D dijalankan FRIM,” katanya kepada Bernama di pejabat FRIM di sini semalam.

Ismail berkata sumber bahan tanaman herba dari hutan yang kini sukar didapati mendorong kewujudan ladang herba di negara ini bagi memberi sokongan kepada industri itu.

“Industri herba berpotensi besar di pasaran domestik dan antarabangsa. Ia selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) iaitu untuk meningkatkan hasil pengeluaran dengan tuaian berkualiti melalui peningkatan produktiviti.

“Namun begitu, antara isu utama dihadapi komuniti luar bandar ialah kebolehcapaian teknologi moden dan peluang pasaran terhad. Justeru, inisiatif ini bertujuan membangunkan ekonomi setempat, mengurangkan kebergantungan terhadap produk import dan merakyatkan hasil penyelidikan,” katanya.

Ismail berkata melalui inisiatif itu, komuniti dilatih secara langsung dalam penanaman, pengurusan ladang, pemprosesan, pembungkusan dan pelabelan produk serta pemasaran, khususnya bagi klon elit Kacip Fatimah FaFaF01 untuk menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi tempatan.

Beliau berkata FaFaF01 ialah klon elit Kacip Fatimah yang dibangunkan dan dipilih oleh FRIM kerana mempunyai kandungan bioaktif tinggi seperti fenolik dan flavonoid.

“Ia telah dikaji hampir 10 tahun oleh saintis FRIM. Klon ini menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dan stabil, sesuai untuk pelbagai bentuk produk kesihatan dan makanan seperti teh, kapsul serta kopi,” katanya.

Ismail berkata selain membekalkan anak benih FaFaF01 dan spesies herba lain hasil kajian saintis FRIM, institut itu juga memberikan latihan teknikal dan amali berkala, sokongan reka bentuk label dan pembungkusan untuk pembangunan produk kepada komuniti serta pemantauan dan nasihat teknikal berterusan.

“Selain itu di FRIM, kami ada satu pusat dipanggil Herbal Technology Centre (HTC). Makmal ini boleh mengesahkan ketulenan sesuatu herba. Jadi produk yang kami keluarkan sudah melalui proses sebenar, ada (Sijil) Halal dan Amalan Perkilangan Baik (GMP),” katanya sambil menambah produk juga mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata selain FRIM yang menjalankan R&D klon herba elit dan pemindahan teknologi, inisiatif itu turut disokong FELCRA Bhd yang menyediakan kemudahan dan penyelarasan koperasi serta peserta komuniti.

Ismail berkata koperasi komuniti memainkan peranan penting dalam menyelaraskan operasi dan membangunkan produk herba seperti teh, kopi dan kapsul Kacip Fatimah berkenaan.

Tambah beliau inisiatif itu turut mendapat sokongan Jabatan Pertanian, institusi pengajian tinggi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan KKM dalam aspek pemasaran, pembiayaan dan kepatuhan piawaian.

Sementara itu, Ketua Program Membaikbiak Tumbuhan FRIM Dr Farah Fazwa Md Ariff berkata pelbagai pencapaian telah diraih melalui inisiatif itu, antaranya dinobatkan sebagai Johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI Tahun 2024 (Kg Bayai Baru) serta pencalonan dalam Desa MADANI peringkat kebangsaaan 2024 dan 2025.

“Pencapaian lain ialah pendapatan koperasi meningkat dengan tambahan 30 peratus setahun, permintaan pasaran tempatan yang stabil dan komuniti kini lebih mahir, berdikari selain yakin dalam keusahawanan herba.

“Selain itu, pembukaan ladang herba daripada bahan tanaman berkualiti tinggi dengan anggaran keluasan lima hektar di lima lokasi di Negeri Sembilan, Perak, Perlis dan Johor,” katanya.

Ismail berkata inisiaitf FRIM itu turut meningkatkan penglibatan wanita dan belia di kampung dalam penjanaan ekonomi masyarakat setempat dan berfikiran bioentrepreneurship serta memperkukuh kedudukan koperasi sebagai entiti ekonomi komuniti.

FRIM komited memperkukuh peranan dalam membantu usahawan kecil dan sederhana tempatan merebut peluang industri herba yang dianggar mempunyai pasaran global mencecah RM1.6 trilion menjelang 2030.

Komuniti, khususnya yang mempunyai persatuan atau koperasi, boleh menghubungi FRIM melalui emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. jika berminat membuka ladang dan membangunkan produk berasaskan herba. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF