fb fb fb fb fb

Menteri Pertahanan sambut baik insiatif BUDI95 kepada anggota tentera

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 22 September - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyambut baik pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada anggota tentera bemula Sabtu ini.

Pelaksanaan awal kepada anggota tentera membolehkan kerajaan menilai keberkesanan dan kelancaran sistem sebelum diperluaskan kepada orang ramai.

"Pelaksanaan ini adalah sebagai satu permulaan yang dimulakan dengan anggota tentera dan polis dalam fasa awal.

"Kita akan lihat bagaimana kesannya dari semasa ke semasa. Apa pun, sebagai anggota Kabinet, saya tetap mendukung keputusan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerimaan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) di Kompleks Haigate Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa 30 September bawah inisiatif BUDI95.

Pelaksanaan program BUDI95 dijalankan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan mendadak.

Ia akan bermula pada Sabtu ini kepada 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada seluruh warganegara.

Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan semua rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter sehingga 300 liter seorang setiap bulan menerusi program BUDI95.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI