SINGAPURA, 25 Mei- Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan memuji usaha Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatukan pendirian ASEAN berhubung isu Myanmar serta mengekalkan saluran komunikasi langsung dengan pihak berkepentingan utama di negara berkenaan.
“Saya memuji Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim kerana menyatukan pendirian ASEAN dan mengekalkan hubungan langsung dengan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu (24 Mei).
Pada April lepas, Anwar mengadakan dialog berasingan dengan pemimpin SAC dan NUG, yang menandakan satu langkah penting ke arah memupuk penglibatan langsung antara pihak yang bertelagah.
Balakrishnan turut menyatakan bahawa Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dari Thailand, Maris Sangiampongsa, baru-baru ini telah melawat Naypyidaw dan mengadakan perbincangan yang membina.
“Pada perundingan tidak rasmi Menteri Luar ASEAN hari ini, kami menegaskan keperluan mendesak untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara — rangka kerja utama yang telah dipersetujui di peringkat pemimpin bagi mencapai keamanan dan perdamaian berkekalan di Myanmar,” katanya.
Balakrishnan berkata lebih empat tahun selepas rampasan kuasa, situasi di Myanmar kekal kritikal dan penderitaan rakyat semakin parah susulan kejadian gempa bumi yang tragik.
Beliau menyifatkan gempa bumi yang berlaku pada Mac lepas sebagai peringatan menyedihkan tentang rapuhnya keadaan negara itu.
Menteri itu berkata Singapura telah menghantar pasukan dan menyalurkan bantuan kemanusiaan, serta bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi.
“Namun, tindakan kemanusiaan perlu disertai dengan kehendak politik. Dan adakalanya tragedi boleh membuka ruang kepada perpaduan dan keamanan,” katanya.
Balakrishnan menegaskan bahawa ASEAN bersedia untuk membantu, namun penyelesaian muktamad mestilah lahir daripada rakyat Myanmar sendiri.
“Hanya selepas itu barulah kita akan mempunyai jalan penyelesaian yang berwibawa dan inklusif serta menghormati kehendak rakyat,” katanya.- BERNAMA