KUANTAN, 3 Mei- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa ambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu pengosongan projek MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) .
Menterinya Nga Kor Ming berkata, pihak berkenaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk MyKiosk dapat digunakan oleh pemohon.
Menurutnya lagi, Ketua Pengarah KPKT telah diarah mengambil tindakan segera menyelesaikan isu berkenaan, termasuk mengenalpasti kiosk yang masih belum diagihkan.
“Saya akui ada beberapa tempat kurang memuaskan sebab itu saya dah arahkan Ketua Pengarah jabatan kerajaan negeri tempatan untuk menghubungi YDP bagi mendapatkan penjelasan mengapa kiosk berkenaan tidak diisi, pihak PBT kena jawab, kamu mohon tetapi kamu tidak isi, " tegas beliau.
Tambah beliau, sebanyak156 PBT telah memohon peruntukan kiosk tersebut dan pihak berkenaan bertanggungjawab memastikan fasiliti itu diguna sepenuhnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sentuhan Kasih 3.0 di Kampung Chempaka, di Kuantan, Pahang.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek MyKiosk di Pahang akan diagihkan kepada pemohon selewat-lewatnya Jun depan.
" Saya telah dimaklumkan projek MyKiosk tersebut kini dalam proses untuk diberikan kepada pemohon-pemohon dan akan diselesaikan pada tahun ini , kalau boleh pada bulan ini, tetapi keseluruhannya pada bulan 5, 6 nanti kita pastikan keseluruhan kiosk-kiosk ini akan disampaikan dan diberikan kepada pemohon-pemohon", katanya .
Sebanyak 100 juta ringgit diperuntukkan bagi pembinaan My Kiosk tahun lalu, meningkat berbanding 50 juta ringgit tahun sebelumnnya.
Projek MyKiosk KPKT adalah inisiatif KPKT untuk membantu golongan B40 dan peniaga mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat, dan selesa.