KUALA LUMPUR, 21 April- Beberapa menteri Kabinet hari ini mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan Salam Aidilfitri buat seluruh umat Islam di Malaysia.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf kepada semua sekiranya ada tersalah kata dan laku sama ada sengaja atau tidak. Maaf zahir dan batin," katanya di Facebook.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, rakyat negara ini tanpa mengira kaum akan bersama-sama meraikan setiap perayaan tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang yang menjadi daya tarikan pelancong asing untuk merasai keharmonion rakyat negara ini.
“Inilah keunikan masyarakat kita yang tidak ada di tempat lain,” katanya yang turut menitip pesanan kepada perantau yang pulang ke kampung halaman supaya memandu dengan berhati-hati.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengambil semangat Aidilfitri, beliau dan warga kementeriannya komited mengukuhkan tekad untuk terus bekerja kuat demi rakyat dan negara.
“Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan bersama insan tersayang.
"Didikan yang diperoleh di sepanjang madrasah Ramadan meningkatkan kefahaman akan erti kesabaran, kasih sayang, ihsan, kesunggguhan dan bermacam lagi,” menurut ciapan beliau di Twitter.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, perayaan Aidilfitri dapat mengeratkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.
“Inilah masanya menghulur tangan bermaafan dan mengeratkan hubungan sesama kita.
"Lupakan sengketa dan tingkatkan keharmonian dalam perpaduan,” katanya di Facebook.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengajak umat Islam bersama-sama bersyukur dan merenungkan segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.
“Nikmat yang tidak terhingga, seperti kesihatan, keluarga, kebahagiaan dan pelbagai kurniaanNya lagi.
"Semoga kita terus bersyukur dan memperoleh keberkatan dari Allah SWT.
"Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau.