KUALA LUMPUR, 31 Mac- Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah milik kerajaan dan pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan serta operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP).
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, RFP merupakan suatu tender terbuka bagi projek kerjasama awam swasta (PPP)) selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.
"Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) telah melaksanakan proses RFP dan seterusnya Jemaah Menteri telah memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut.
"Pembida berjaya tersebut telah diumumkan pihak kerajaan pada 29 Mei tahun lalu.
"Pihak kementerian mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi yang telah difailkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) lanjutan daripada pelantikan syarikat konsesi baharu ini," menurut kenyataan itu.
Pihak Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi akan memastikan sebarang tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan proses undang-undang.
Pada masa sama pihak kementerian memohon agar semua pihak dapat memberikan ruang kepada proses perundangan tersebut berjalan dengan lancar.
Bagaimanapun semua pihak terlibat termasuk orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengganggu proses perundangan yang sedang berjalan.
Selain itu kementerian juga kekal komited terhadap tadbir urus yang baik dan akan memastikan perkara itu ditangani sewajarnya.