fb fb fb fb fb

Memartabatkan bahasa dan kesusasteraan, DBP terima RM50 juta

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Oktober-Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mempergiatkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, aktiviti berkenaan termasuk mengalih bahasa karya-karya agung, penganjuran teater serta memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.

"Saya selalu tekankan dalam Gelombang Kebangkitan Asia bahawa pembangunan ekonomi harus seiring dengan pembangunan budaya dan nilai. Khazanah bahasa dan sastera perlu terus dipertahankan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas", katanya.

Kerajaan turut memberi sokongan penuh kepada industri seni kreatif dengan meningkatkan peruntukan Dana Kandungan Digital telah meningkat sebanyak RM65 juta bertujuan mempromosikan karya yang berteraskan semangat kenegaraan.

"Di samping itu, hampir RM40 juta disediakan di bawah Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di tanah air.

"MyCreative Ventures pula disediakan RM25 juta bagi menyokong industri kreatif melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan menyediakan pembiayaan untuk usahawan sosial kreatif", katanya.

Tegas Anwar, bagi menarik minat anak muda dalam bidang seni, Program Belia Kreatif MADANI akan dianjurkan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, melibatkan hampir 16,000 peserta.

"Aktiviti ini termasuk bengkel kemahiran videografi, pembangunan komuniti filem, dan pertandingan filem pendek", katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD