fb fb fb fb fb

Melaka rugi RM39 juta akibat penipuan dalam talian

Gambar hiasan - BERNAMA

JASIN, 2 Julai - Melaka mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM39 juta akibat jenayah penipuan dalam talian setakat 6 bulan pertama tahun ini.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, ia melibatkan sebanyak 1,159 kes yang dilaporkan sejak Januari hingga 1 Julai lepas. Kes tertinggi penipuan melibatkan pelaburan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kempen Kesedaran Keselamatan Infra Komunikasi dan Jenayah Siber Daerah Jasin bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di sini.

"Sebenarnya apa yang saya hendak sampaikan di sini, ramai yang tertipu kerana sifat tamak bukan kerana tidak tahu. Tamak sebab apa?, sebab hendak kejar pelaburan dan perniagaan yang mendatangkan keuntungan segera dan luar biasa. Akhirnya tidak rasional dan tidak munasabah, sehinggalah mereka terpedaya dan rugi semata-mata," tegasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan, sebanyak 650 tangkapan telah dibuat bagi separuh pertama tahun ini melibatkan jenayah berkenaan.

Beliau menegaskan kegiatan jenayah itu semakin canggih dengan menggunakan pautan palsu dan laman pelaburan tiruan disokong dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI