BATU BERENDAM, 18 September- Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka bagi mana-mana syarikat penerbangan komersial yang akan beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, Melaka.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata ia bagi memastikan perjanjian hitam putih dapat ditandatangani bagi mengelakkan sebarang permasalahan pada masa akan datang.
Beliau juga menyifatkan kegagalan menyediakan sebarang dokumen perjanjian antara punca yang menyebabkan syarikat penerbangan menarik balik perkhidmatan mereka di lapangan itu, baru baru ini.
"Saya dalam proses perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan untuk beroperasi di Melaka tetapi perlu mengikut syarat yang kita tetapkan.
Mereka perlu beroperasi mengikut tempoh masa yang ditentukan. Sebelum ini, mereka beroperasi mengikut permintaan. Jika ada penumpang, mereka beroperasi. Bila permintaan menurun, mereka menamatkan perkhidmatan ikut kehendak mereka," kata Hameed selepas Mesyuarat Penyelarasan Karnival Udara Antarabangsa Melaka 2023 (KUAM’23), di sini.
Tambah Datuk Hameed, sebanyak tujuh syarikat penerbangan komersial termasuk dari Indonesia dan Singapura sudah dipelawa beroperasi di LTAM, setakat ini.
Terdahulu, kali terakhir penerbangan di LTAM adalah dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos lalu.
(Foto Fail)