AYER KEROH, 29 Jun – Kerajaan Negeri Melaka menjenamakan semula buah Jambu Batu Lohan (GU16) kepada nama baharu MelGuv, sebagai langkah memperkukuh kedudukan buah tempatan itu sebagai ikon buah-buahan negeri Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penjenamaan semula itu dibuat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mematenkan buah MelGuv sebagai produk eksklusif negeri itu, memandangkan keistimewaannya yang tidak terdapat di tempat lain.
“MelGuv ini hanya ada di Melaka. Kita cuba tanam benihnya di tempat lain seperti Masjid Tanah, Johor dan sebagainya, namun tidak menjadi. Ini adalah satu nikmat yang Allah SWT beri kepada Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Melaka Agrofest 2025 yang berlangsung di Dataran Sejarah, di sini hari ini.
Menurut beliau, buah MelGuv yang mempunyai rasa manis dan rangup, berbeza dengan varieti jambu batu Lohan lain yang terdapat di pasaran.
Melaka mencatatkan pengeluaran sebanyak 1,139 tan metrik MelGuv tahun lalu, melibatkan kawasan tanaman seluas 80 hektar di seluruh negeri, termasuk 1,000 tan metrik hasil daripada kebun di Pulau Gadong seluas 30 hektar.
Sebagai sebahagian daripada usaha promosi, sebanyak 15,000 biji MelGuv dan 800 buah nanas diedarkan secara percuma kepada pengunjung pada hari terakhir Melaka Agrofest 2025, yang berjaya menarik kehadiran lebih 41,482 pengunjung.