fb fb fb fb fb

Felda Seberang Tayor terancam, beruang masuk kawasan rumah

Kelibat seekor beruang ditemui penduduk Felda Seberang Tayor

KEMAMAN, 29 Jun – Kehidupan penduduk kampung di Felda Seberang Tayor di sini kini dalam keadaan terancam apabila beberapa ekor beruang liar didapati berkeliaran dan memasuki kawasan kediaman sejak beberapa minggu lalu.

Haiwan itu dipercayai tersesat dari hutan berhampiran dan masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan, terutama pada musim buah-buahan ketika ini.

Penduduk mendakwa beruang terbabit memanjat pokok durian dan nangka, sebelum menjatuhkan serta merosakkan buah-buahan yang hampir masak, menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Saya cuba halau guna lampu laser tapi dia tetap turun dan bertentang dengan saya. Nasib baik dia tak serang,” kata Johari Ariff, salah seorang penduduk yang terserempak dengan beruang berkenaan.

Mereka berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera kerana bimbang keselamatan penduduk, terutama kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah.

2906 ARIFF JOHANJohari Ariff, salah seorang penduduk yang terserempak dengan beruang berkenaan

Tinjauan RTM mendapati terdapat kesan cakar pada batang pokok tanaman yang dipercayai dipanjat beruang berkenaan, selain puluhan biji buah durian yang belum masak dijatuhkan serta dirosakkan.

Sementara itu, Pengurus Felda Seberang Tayor, Mohd Syafiq Hilmi Ahmad Zahid, berkata pihak pengurusan telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman untuk tindakan lanjut.

“Bagi menjamin keselamatan penduduk Felda Seberang Tayor, pihak pengurusan telah membuat laporan kepada Pejabat Perhilitan Kemaman.

"Alhamdulillah, tindakan pantas telah diambil apabila pihak Perhilitan memasang perangkap di kawasan ini. Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan," katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk agar berwaspada dan mengawasi anak-anak agar tidak bermain di kawasan terbuka.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memaklumkan pihaknya telah memasang beberapa perangkap serta menjalankan pemantauan berterusan sejak 22 Mei lalu.

GRACE AISYAH KEDAYAN