fb fb fb fb fb

Melaka pentas dunia, dari ASEAN ke pelancongan global

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Melaka bakal melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai jenayah rentas sempadan ke-19 pada 8 hingga 12 September ini, sekali gus mengangkat negeri bersejarah itu ke pentas antarabangsa.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, selain menonjolkan warisan dan sejarah, Melaka turut akan membongkar penemuan manuskrip abad ke-15 mengenai Panglima Awang atau Henry the Black, anak jati Melaka yang diiktiraf sebagai manusia pertama mengelilingi dunia selepas kematian Ferdinand Magellan.

“Selama ini kita mempromosikan Melaka ke luar negara. Kali ini, kita bawa dunia datang ke Melaka untuk menyaksikan sendiri khazanah bersejarah, penemuan baharu serta kehebatan warisan negeri ini,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Selain warisan sejarah, Melaka juga bakal memperkenalkan permainan tradisi seperti konda kondi dan dam haji hasil kajian bersama Politeknik Merlimau bagi diangkat ke peringkat antarabangsa.

Negeri itu turut melancarkan inisiatif Smart Tourism berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memberi pengalaman digital interaktif kepada pelancong.

Menurut Datuk Seri Ab Rauf, persediaan logistik, penginapan dan kawalan lalu lintas telah diperkemas bagi menerima lebih 155 pemimpin dunia yang dijangka hadir.

“Selepas menerima 16 juta pelancong tahun lalu, kita yakin sasaran meningkat kepada 18 juta pelancong tahun ini seiring pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang turut berlangsung di Melaka dengan persembahan teknologi dron,” jelasnya.

Beliau turut menjemput seluruh rakyat Malaysia hadir pada 28 September di Pantai Kelebang bagi menyaksikan pelancaran Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Acara ini bakal memperlihatkan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” jelasnya.

ROSLINA BINTI DIN