KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Usaha sedang dilaksanakan bagi memperluas kawasan hijau di Kuala Lumpur dengan pewartaan dua lagi Hutan Simpan Kekal (HSK) yang baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan kini dalam proses mewartakan kawasan seluas 20.57 hektar di Bukit Dinding sebagai HSK baharu di ibu negara.
"Status permohonan tersebut telah dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah dalam mesyuarat pada bulan Mac lalu. Pendekatan ini juga boleh difikirkan untuk diterokai di Kuala Lumpur bagi membawa kehijauan ke dalam bandar," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Dewan Rakyat di sini yang bertanya mengenai rancangan perluasan kawasan hijau di Kuala Lumpur.
Katanya, satu lagi kawasan iaitu Pulai Trail seluas lima hektar turut dicadangkan untuk tujuan sama.
Menurut beliau, langkah itu adalah susulan kepada pewartaan terakhir yang dibuat pada 2021, membabitkan 23.8 hektar Hutan Simpan Sungai Besi.