fb fb fb fb fb

Melaka komited selesaikan masalah serangan haiwan liar

TANJUNG TUAN, 10 Julai- Kerajaan Negeri Melaka komited menyelesaikan permasalahan serangan babi hutan dan kera liar yang menjejaskan hasil pertanian penduduk setempat.
 
Sebanyak RM1.9 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka bagi menyediakan sebanyak 316 perangkap.
 
Exco Kemajuan Desa, Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata perangkap itu akan diletakkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Saya minta jabatan PERHILITAN untuk bekerjasama dengan penduduk setempat melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).

"Ia disebabkan perangkap itu perlu dilelatkkan di kawasan yang sepatutnya dan ia tidak boleh diletakkan dalam tempoh lama bagi mengelakkan perangkap itu tidak berkesan. Kita minta PERHILITAN untuk meletakkan ia di kawasan titik panas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Perangkap Hidupan Liar bagi Program Basmi Musuh Tanaman Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Pendidikan Biodiversiti Tanjung Tuan, Melaka.

Setakat ini PERHILITAN menerima lebih 1,500 aduan berkaitan gangguan haiwan liar itu dengan laporan tertinggi adalah di kawasan daerah Alor Gajah.

(Muhamad Akmal Saleh)

Media Baharu