fb fb fb fb fb

Melaka komited perkasa pantun, martabat tokoh sejarah negeri

(Datuk Seri Ab Rauf merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Pendidikan , Pertandingan Pantun Dan Pertandingan Melestarikan Sejarah Sekolah Berasaskan Nama Tokoh Tersohor Negeri Melaka Tahun 2023 di MiTC, Ayer Keroh)

AYER KEROH, 16 Oktober- Kerajaan Melaka komited untuk terus memperkasa seni, warisan dan budaya terutama pantun serta memartabat sejarah tokoh-tokoh tersohor negeri itu dalam kalangan generasi muda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ke arah itu, Jabatan Pendidikan negeri telah menyelaraskan pertandingan mencipta pantun warisan yang melibatkan murid sekolah di seluruh negeri serta pertandingan melestarikan sejarah sekolah.

"Kajian melestarikan sejarah sekolah-sekolah Melaka berasaskan nama tokoh tersohor ini melibatkan 43 sekolah yang menggunakan nama tokoh iaitu 14 sekolah rendah, 27 sekolah menengah dan dua kolej vokasional.

"Menerusi hasil kajian tersebut, nama-nama tokoh yang mempunyai nilai warisan budaya tinggi pada sejarah negeri Melaka perlu diwarta selain ia juga dijadikan memento kenangan dan rujukan seterusnya menjadi inspirasi kepada generasi muda," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata penulisan pantun terbaik akan dipilih untuk diletakkan di papan tanda pintu masuk ke negeri itu.

Ia bagi tatapan orang ramai dan sebagai pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya menghasilkan pantun tradisional.

"Pantun terbaik, mempunyai ciri dan nilai budaya tinggi ini akan disaring dan dipilih untuk diletakkan di antara lapan pintu masuk ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)," katanya.

Tambahnya, pertandingan pantun itu disertai semua sekolah peringkat daerah di Melaka dan lima pemenang dipilih untuk ke peringkat negeri.

Pada majlis sama Ab Rauf turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka bagi 2023 kepada tiga penerima iaitu Talib Abdullah, Mohamad Isa Jolan dan Abu Bakar Sahari.

 
(Ab Rauf menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka bagi 2023 kepada salah seorang penerima, Talib Abdullah)

Media Baharu