fb fb fb fb fb

Melaka bakal wujudkan Kampung komuniti Jawa sebagai tarikan pelancongan

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Kampung Tengah Paya Dalam, Ayer Keroh/ Foto RTM

AYER MOLEK, 20 April - Kerajaan negeri Melaka bercadang untuk mewujudkan Perkampungan Pelancongan berasaskan komuniti masyarakat Jawa sebagai lokasi tarikan pelancong terbaharu di negeri berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan mengenai perkara tersebut telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dijangka direalisasikan sebelum hujung tahun ini.

Ujar Ab Rauf, sekiranya perancangan itu berjaya, Kampung Paya Dalam di  Ayer Molek akan diangkat sebagai Perkampungan Pelancongan Jawa pertama di Malaysia.

"Lebih kurang ada 10,000 kaum Jawa yg menjadi penduduk kekal di kampung ini.

"Kerajaan negeri juga bersetuju mengangkat kampung ini sebagai Perkampungan Pelancongan Jawa pertama di Malaysia. Antara yang kita akan perkenalkan ialah seni budaya, makanan, dan juga gaya kehidupan orang-orang Jawa selain dijadikan salah satu daya tarikan untuk memperkenalkan keindahan budaya Jawa dalam negeri Melaka", kata Ab Rauf demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Warisan Anak Jawa Paya Dalam (PERWAJA) di Kampung Tengah Paya Dalam, di sini.

Tambah Rauf, langkah ini juga secara tidak langsung memberi pulangan ekonomi kepada penduduk kampung.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD