fb fb fb fb fb

Melaka bakal jadi tuan rumah ACIR 2024

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (empat, kiri) dalam sesi bergambar bersama penganjur dan penaja ACIR) 2024 di MITC, di sini, hari ini

AYER KEROH, 18 Disember- Melaka bakal menjadi tuan rumah ASEAN Cup International Regatta (ACIR) 2024 yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 27 Oktober tahun depan, melibatkan kira-kira 1,000 peserta dalam dan luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penganjuran ACIR mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan Victoria Sailing Academic Institute of Hong Kong membabitkan peserta dari negara serantau selain Jepun, China, Korea Selatan, Hong Kong, Macau dan Taiwan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan segala prasarana dan kemudahan untuk persediaan penganjuran pertandingan tersebut.

"Pertandingan bertaraf antarabangsa ini akan berlangsung di Encore Melaka, Kota Laksamana dan kita difahamkan pihak penganjur telah membuat kajian lebih awal sejak tahun lepas mengenai kedudukan arah angin yang sesuai dijalankan acara itu pada bulan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ujarnya, penganjuran ACIR ini juga dilihat dapat mempromosi negeri ini yang turut menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), sekali gus menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Ab Rauf berkata pelbagai aktiviti menarik juga diadakan sempena acara itu seperti Kampung Regatta, simulator pelayaran, pengalaman berlayar, festival muzik dan kebudayaan ASEAN, pameran dan lain-lain.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI