fb fb fb fb fb

Kematian wanita dalam tahanan disebabkan pneumonia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Disember- Punca kematian seorang tahanan wanita ketika dalam tahanan reman polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Kedah, kelmarin, disebabkan radang paru-paru (pneumonia) dan tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad berkata, punca kematian wanita berusia 34 tahun itu disahkan oleh doktor dan ia adalah disebabkan pneumonia dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Proses bedah siasat dan ujian pengesanan COVID-19 terhadap orang kena tahan (OKT) berkenaan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam mendapati wanita berkenaan tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah selain didapati negatif COVID-19," katanya

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, "Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Koroner."

Wanita itu direman sejak Selasa lepas di lokap Balai Polis Kuah, IPD Langkawi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1852.

Pada malam 15 Disember dia mengadu tidak sihat dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Dia ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun wanita itu dilaporkan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi keesokannya dan mayatnya dibawa ke di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI