fb fb fb fb fb

Pilihan raya PBT, beri Zaliha masa pertimbang cadangan DAP - Fahmi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Disember- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa perlu diberi masa mempertimbangkan gesaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan di ibu negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perkara itu telah dibincangkan bersama menteri berkenaan .

"Sewaktu kita bentuk kerajaan kita ada pelbagai gabungan yang berbeza dengan manifesto yang berbeza, maka perlu ada pengharmonian dan saya percaya kita raikan perbezaan pandangan, tetapi pada masa sama pimpinan kita terutama antara yang dinamakan tadi cukup matang untuk faham bahawa kerajaan yang ada hari ini bukan kerajaan satu parti atau satu gabungan tapi terbentuk atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, maka kita perlu ada proses dan saya percaya kita akan bincang nanti," kata Fahmi kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai menggesa Putrajaya memulakan pilihan raya kerajaan tempatan di ibu negara bagi memperkukuh demokrasi.

Ia susulan selepas rombakan Kabinet baru-baru ini menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, menurut laman web Wikipedia, pilihan raya PBT atau pilihan raya kerajaan tempatan pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sebelum 1964 dan kerajaan tempatan adalah kerajaan paling rendah dalam sistem kerajaan di Malaysia.

Jawatan penting seperti Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis dan ahli majlis berkuasa terhadap kutipan cukai, cukai pintu dan menggubal undang-undang kecil.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM