fb fb fb fb fb

Mekanisme kawalan perlu teratur sebelum wujudkan industri ganja, ketum - Hamzah

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 6 Oktober - Mekanisme kawalan yang teratur perlu diwujudkan terlebih dahulu oleh pihak yang sedang meneliti cadangan perindustrian ganja dan ketum.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mekanisme kawalan itu penting bagi melindungi rakyat daripada sebarang kemudaratan akibat penyalahgunaan dan penagihan bahan-bahan psikotropik yang terdapat pada kedua-dua tanaman itu.

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin / FOTO FAIL)

"Walaupun ada pihak yang mencadangkan supaya dibenarkan pengeksportan ketum ini ke negara jiran, saya berpandangan bahawa sebarang tanaman untuk tujuan eksport akan menjadi satu tanaman komoditi, kemampanan tanaman komoditi pula sangat bergantung kepada harga pasaran.

"Sehubungan dengan itu saya mencadangkan agar pihak yang sedang meneliti cadangan perindustrian ganja dan ketum untuk mewujudkan terlebih dahulu satu bentuk mekanisme kawalan yang teratur bagi melindungi rakyat di negara ini," katanya dalam perutusan ucapan perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2022, di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang mewakili beliau.

Tambah Hamzah, selain ganja kawalan terhadap tanaman Ketum juga telah dilaksanakan di negara ini sejak 2003 dengan penyenaraian alkaloid mitragynine yang terdapat dalam tanaman Ketum sebagai bahan psikotropik yang memberi kesan khayalan ke atas penggunaannya dalam Akta Racun 1952.

Media Baharu