fb fb fb fb fb

Media perlu kebebasan bergerak ikut acuan negara masing-masing

Fahmi Fadzil

KUCHING, 27 Mei- Media perlu diberikan kebebasan untuk bergerak mengikut acuan negara masing-masing berdasarkan keadaan dan perubahan semasa kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Pada masa sama beliau mahu pengamal media terus memberikan maklum balas kepada kerajaan berkenaan keadaan media di negara ini.

"Media di Malaysia perlu dibangunkan dengan acuan di Malaysia. Inilah mesej yang saya terima daripada para ketua pengarang, terpulang kepada kita bentuk media Malaysia yang kita idamkan," katanya kepada pemberita di Kuching selepas mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua pengarang berita daripada pelbagai agensi media dan wakil pemberita Reporters Without Border (RSF).

RSF merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Paris.

Sementara itu, Pengerusi Pro Tem Majlis Media Malaysia, Premesh Chandran berkata pihaknya sedia bekerjasama dan memberi cadangan kepada RSF berkenaan situasi yang menggambarkan media di negara ini.

"Kami telah memberi sedikit maklum balas kepada RSF. Kami berharap RSF juga dapat memikirkan perkara ini dan mengkaji semula metodologi dan strategi untuk menilai kebebasan akhbar di setiap negara," katanya.

Bagi Pengarah RSF Bahagian Biro Asia Pasifik Cedric Alviani pula, perbincangan itu dilihat akan memberi kesan baik terhadap kebebasan akhbar di Malaysia.

"...kini kami bekerjasama dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. Kami sedang berbincang dengan wartawan dan saya percaya ini bagus untuk masa depan kebebasan akhbar di Malaysia," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI