fb fb fb fb fb

MDL kemuka cadangan laksanakan pindaan berkaitan kebankrapan

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 26 Ogos- Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL) mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar melaksanakan pindaan ke atas empat peruntukan bagi melancarkan proses pentadbiran estet kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato' Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, taklimat mengenai cadangan pindaan itu telah dibentangkan oleh jabatan berkenaan kepadanya semalam.

Beliau berkata cadangan pindaan itu bagi mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera.

Empat cadangan itu melibatkan penambahbaikan kepada peruntukan Seksyen 33C Akta 360 berkenaan pelepasan automatik bagi membantu lebih ramai yang bankrap dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.

"Kedua, menyasarkan untuk menetapkan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang untuk mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan;

"Ketiga, Memansuhkan Mesyuarat Pertama Pemiutang dan keempat, untuk menambah penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan di mana ia dapat membantu bankrap berurusan dengan MdI secara dalam talian dan digital serta memudahkan pentadbiran kebankrapan", katanya menerusi kenyaataan hari ini.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),
Dato' Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar)

Menurut Dr. Wan Junaidi, beberapa libat urus dicadangkan dengan pemegang taruh khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta kementerian yang bertanggungjawab untuk mengawal selia syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana Malaysia serta usahawan dalam kategori mikro sebelum memuktamadkan cadangan dan dibawa ke Jemaah Menteri melalui satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM).

Bagaimanapun, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Udang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengkaji cadangan pindaan ini dengan lebih terperinci terutamanya berkaitan implikasinya kepada orang ramai.

Jelas beliau, statistik kes kebankrapan yang didaftarkan menunjukkan pola penurunan, di mana 12,051 kes bagi tahun 2019, diikuti 8,351 kes pada tahun 2020, 6,554 kes pada 2021 dan 3,604 kes setakat Julai lalu tahun ini.

"Dari sudut peratusan, pengurangan berbanding tahun sebelumnya direkodkan sebanyak 26.88 peratus pada 2019, 30.70 peratus pada 2020 dan 21.52 peratus tahun lalu", katanya.

Media Baharu