fb fb fb fb fb

MCMC tidak pernah keluarkan mesej tuntut hadiah wang tunai

CYBERJAYA, 7 Januari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

MCMC dalam kenyataan mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya serta mengelak daripada memberikan butiran peribadi seperti nombor Mykad kepada individu tidak dikenali.

Menurut kenyataan berkenaan, kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain.

"Mesej atau e-mel yang tular itu antara lain mendakwa hasil pemantauan dijalankan Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan Maybank, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai RM270,000 di bawah Bonus Hadiah Keluarga TM," menurut kenyataan itu.

Kandungan e-mel berkenaan juga menyatakan kononnya transaksi dengan Maybank adalah sah dan boleh menuntut wang tunai itu tanpa rasa takut.

(MCMC tidak pernah keluarkan mesej tuntut hadiah wang tunai)

Media Baharu