KUALA LUMPUR, 4 November- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbang penggunaan teknologi baharu, terus ke peranti atau 'direct to device'.
Ia menggunakan teknologi satelit 'Low Earth Orbit' (LEO) bagi menambah baik liputan internet.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, langkah itu mengambil kira keperluan pengguna, terutamanya penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
"Kita sedang mempertimbangkan teknologi baharu seperti satelit 'direct to device' ini dalam pertimbangan MCMC.
"Untuk Jendela Fasa 2, sebanyak 2,700 lokasi di seluruh negara telah dikenal pasti untuk penambahbaikan liputan internet.
"Antaranya, kami sedang dalam proses mengenal pasti teknologi yang paling sesuai bagi setiap lokasi, supaya semasa pelaksanaan Jendela Fasa 2, kita dapat menggunakan teknologi terkini," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Wakil Julau, Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien, mengenai usaha kerajaan memperbaiki capaian melalui teknologi terkini.
Penggunaan teknologi baharu itu dijangka akan dimuktamadkan tahun depan.