SEGAMAT, 14 Disember- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta untuk meneliti semula reka bentuk setiap tapak menara telekomunikasi bawah Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata penelitian tersebut diperlukan bagi memastikan ia kekal beroperasi semasa banjir, selain mengelakkan vandalisme.
Beliau berkata antara perkara yang perlu diambil kira seperti memasang pagar berduri, pagar antipanjat dan meletakkan kedudukan kotak elektrik di tempat yang tidak mudah dinaiki air.
"Saya akan minta tapak-tapak ini terutama yang kerap mengalami vandalisme, bukan hanya di sini, tapi kita ada laporan maka mesti ada sebab... sebabnya, antara lain reka bentuk, sekiranya ada kesilapan pemilihan bahan dalam reka bentuk dan rekaan tapak tersebut.
"Saya meminta MCMC segera mengarahkan syarikat-syarikat berkenaan yang merupakan pelesen yang memegang lesen MCMC, mereka perlu bantu untuk menambah baik", katanya.
Tambahnya, perbuatan vandalisme di tapak menara boleh diklasifikasikan sebagai jenayah dan pihak terkesan boleh mengambil tindakan sivil terhadap mereka yang melakukan vandalisme.
Setakat Oktober lalu, sebanyak 1,385 daripada 1,661 struktur menara komunikasi, telah siap dibina di seluruh negara. Daripada jumlah itu hanya 808 menara telah beroperasi.
Beliau ditemui media selepas mengadakan Lawatan ke Tapak Menara Telekomunikasi Kampung Sungai Lenek, Segamat.