
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi tempoh tujuh hari kepada dua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengemukakan pelan tindakan susulan isu kualiti liputan komunikasi yang tidak memuaskan di Kampung Tinagat, di Tawau Sabah.
- MCMC melakukan ujian rangkaian pada 29 Mei di tiga lokasi Kampung Tinagat selepas menerima aduan penduduk.
- Hasil ujian WBAS menunjukkan dua daripada tiga lokasi gagal memenuhi standard mandatori ditetapkan MCMC.
- CelcomDigi diarahkan melaksanakan penambahbaikan liputan serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.
- Maxis diarahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara dan kegagalan memberi maklum balas boleh mengundang notis Seksyen 51(2).
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pada 29 Mei lalu, MCMC telah melakukan pengujian rangkaian di tiga lokasi di kampung berkenaan selepas menerima aduan dari penduduk setempat.
Menurut kenyataan itu, hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua daripada tiga lokasi ujian gagal memenuhi standard mandatori yang ditetapkan MCMC.
“CelcomDigi telah diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan liputan rangkaian serta mengemukakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.
“Manakala Maxis telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat.
“Sehubungan itu, penyedia perkhidmatan berkenaan diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan berhubung dapatan ujian tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.
MCMC berkata, notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal mengemukakan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.