KUALA LUMPUR, 29 September – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu dengan platform media sosial utama di Singapura pada minggu depan, bagi mengadakan perbincangan teknikal berhubung pelaksanaan eKYC ('Kenali Pelanggan Anda') serta langkah membanteras kandungan berbahaya di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna internet di Malaysia, susulan peningkatan kes penipuan, judi dalam talian serta penyalahgunaan identiti di platform digital.
“Dalam sembilan bulan pertama tahun ini, MCMC merekodkan lebih 150,000 kandungan berkaitan judi dalam talian dan scam di Facebook sahaja.
"Setiap kandungan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk diturunkan, menyebabkan seolah-olah setahun masa kerja dihabiskan hanya untuk isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Ke-29 di sini, hari ini.
Datuk Fahmi turut menjelaskan Malaysia memiliki antara kadar internet paling murah dan terpantas di dunia, namun penjenayah juga mengambil kesempatan dengan menjadikan media sosial sebagai medan jenayah siber.
Antara kes yang sering berlaku ialah penyamaran menggunakan identiti tokoh terkenal seperti Prof Dr Muhaya untuk menjual produk tidak wujud.
Beliau berkata, usaha mengekang jenayah siber akan diperkukuh melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian atau Online Safety Act (ONSA) yang dijangka dikuatkuasakan hujung tahun ini.
Akta itu mewajibkan platform digital mengambil tindakan menyeluruh terhadap kandungan mudarat dan akan dipantau oleh jawatankuasa keselamatan dalam talian di bawah Menteri Undang-Undang, manakala MCMC bertindak sebagai pelaksana.
"Platform perlu memastikan keselamatan pengguna, termasuk menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun membuka akaun media sosial. Walaupun larangan umur telah ditetapkan, penguatkuasaan masih lemah sebab itu kita mahukan eKYC diperkenalkan, " katanya lagi.