KOTA KINABALU, 29 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi mengesan sebarang bentuk transaksi meragukan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan memanipulasi, melakukan penyelewengan atau penyeludupan minyak petrol RON95.
"Kita akan menggunakan undang-undang, kerangka perundangan khususnya atas Kawalan Bekalan 1961 dan juga peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa dan mana-mana pihak yang diambil tindakan dan disabitkan bersalah boleh didenda untuk individu sehingga RM1 juta ataupun penjara atau kedua-dua, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"... dan manakala bagi syarikat pula yang didapati bersalah disabitkan bersalah boleh didenda sehingga jumlah RM2 juta.
"Dari segi penguatkuasaan dengan pelaksanaan SKPS dan juga BUDI95 iaitu penggunaan fleet kad dan juga MyKad ini kita akan dapat meneliti mengesan transaksi-transaksi yang meragukan dan ini direkodkan secara digital.
"... dan melalui rekod secara digital ini kita akan dapat mengambil tindakan dengan lebih berkesan dengan lebih segera berbanding dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan sebelum ini", katanya dalam sidang media, di Kota Kinabalu.
Sebanyak 6,409 syarikat dengan 14,527 kenderaan telah berdaftar di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di seluruh negara, setakat semalam.
Dalam tempoh sama, seramai 27,916 pengguna melibatkan anggota keselamatan telah memanfaatkan pembelian RON95, di bawah inisiatif BUDI95.