fb fb fb fb fb

MCMC akan bina menara komunikasi baharu di Padang Serai

KUALA LUMPUR, 1 Disember - Satu menara komunikasi baharu bawah Pelan Jalinan Digital Negera (JENDELA) akan dibina bagi mengatasi masalah talian komunikasi di lima kampung di Padang Serai, Kedah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya telah menerima laporan dan aduan pada 28 November lepas berhubung kira-kira 8,000 penduduk berhadapan dengan ketiadaan rangkaian komunikasi.

"MCMC dengan kerjasama kerajaan Kedah telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan tinjauan serta menyantuni wakil penduduk di lima kampung tersebut iaitu Taman Bunga Raya, Taman Raya Indah, Taman Raya Murni, Kampung Padang dan Kampung Nesa.

"Pihak kami telah memasukkan kawasan berkenaan dalam perancangan bagi pelaksanaan satu struktur menara komunikasi baharu di bawah JENDELA sebagai langkah penyelesaian untuk menambah baik kualiti liputan dan dijangka siap dalam tempoh setahun," katanya dalam satu kenyataan.

(FOTO FAIL)

Katanya bagi penyelesaian interim, pihak penyedia perkhidmatan turut diminta untuk menjalankan pengoptimuman di menara komunikasi sedia ada (berhampiran) dalam masa seminggu bagi menambah baik kualiti liputan di lokasi tersebut.

"Pihak MCMC sentiasa memantau pelaksanaan kerja-kerja pengoptimuman dijalankan oleh pihak penyedia perkhidmatan dan juga memastikan struktur menara komunikasi baharu yang dirancang dapat dilaksanakan dengan segera," katanya.

Media Baharu