fb fb fb fb fb

McDonald's Malaysia sumbang RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- McDonald’s Malaysia hari ini mengumumkan sumbangan RM1 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin sebagai tanda sokongan terhadap mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza.

Menurut Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan, langkah itu adalah selaras dengan hasrat murni kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Usul Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperuntukkan RM10 juta kepada Dana Kemanusiaan Palestin adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menyokong mereka yang terjejas akibat konflik di Gaza.

"Krisis kemanusiaan yang semakin menekan di Gaza mengetengahkan kepentingan usaha ini. Lantaran itu, McDonald's Malaysia berganding bahu bersama kerajaan dalam menyokong pendanaan ini dengan harapan supaya membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi masa yang sukar,"menurut kenyataan itu.

Sumbangan McDonald's Malaysia ke Dana Kemanusiaan Palestin itu akan secara langsung menyokong misi bantuan kemanusiaan di Gaza, lantas memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas akibat konflik tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, bantuan akan meliputi perubatan, makanan, tempat tinggal, dan bantuan pemindahan sekiranya diperlukan oleh pasukan penyelamat.

"Komitmen kami tertumpu sepenuhnya kepada menyediakan keperluan asas kepada mereka yang dalam kesusahan.

"Kami yakin semangat kerjasama dapat membantu dalam masa yang genting ini. Selain sumbangan ini, McDonald's Malaysia juga menggalakkan pekerja-pekerja dari seluruh negara untuk menyertai usaha pengumpulan dana.

"Kami berharap usaha ini akan memberi impak yang bermakna dalam kehidupan mereka yang terkesan di Gaza,"menurut kenyataan itu.


(KENYATAAN MEDIA MC DONALS'S MALAYSIA)

Media Baharu