fb fb fb fb fb

MCBA: Enam operasi khas dilaksana, nilai rampasan cecah RM40 juta

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 23 Julai - Enam operasi khas telah dilaksana Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (MCBA) sejak 2 Mei hingga 12 Jun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata nilai rampasan yang dicatat dalam tempoh itu mencecah RM40 juta.

Beliau berkata, antara operasi khas yang dilaksana adalah OP TARING PALMA, OP TARING SABAH dan OP TARING ALPHA.

"Ini dilaksana selaras arahan Perdana Menteri dan keputusan jemaah menteri pada April, penyelarasan guna pakai pendekatan 3R seperti dizahirkan dalam terma rujukan MCBA dilaksana berdasarkan maklumat risiko pelbagai agensi yang diselaraskan dengan logistik dan sumber manusia seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akta-akta berkaian seperti akta kastam 1967," katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini.

Dalam perkembangan sama, Anuar memaklumkan, bahagian integriti akan diwujudkan dalam struktur asas MCBA.

Katanya, ia akan diketuai seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan hal ehwal integriti dan tatakelakuan pegawai agensi berkenaan.

"Pendekatan ini bagi memastikan sebarang siasatan dan tindakan terhadap pegawai MCBA dilaksana dengan telus dan berkecuali.

"Selain dapat memastikan enam teras integriti yang ditetapkan iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengurusan aduan dan tatatertib dapat dilaksana dengan berkesan," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN