fb fb fb fb fb

MBOT bangunkan rangka kerja komprehensif, mudahkan pelbagai laluan profesional

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang

PUTRAJAYA, 30 Julai - Satu rangka kerja komprehensif untuk mengakreditasi kursus jangka pendek berkaitan teknologi dan kelayakan mikro akan dibangunkan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT).

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata inisiatif tersebut akan memudahkan pelbagai laluan ke arah pembangunan profesional dan pengiktirafan.

Pada masa sama, memberikan lebih banyak pilihan kepada tenaga kerja untuk meningkatkan kemahiran mereka.

"Mandat MBOT di bawah aktanya secara unik meletakkannya untuk memastikan laluan alternatif ini memenuhi piawaian industri dan menerima pengiktirafan yang meluas.

"Dengan memupuk pelbagai disiplin dan bakat, saya percaya inisiatif ini akan meningkatkan pertumbuhan bakat dan daya saing," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian MBOT Experts Network in Technology, Innovation, and Cooperative Event (ENTICE), di sini.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kebangsaan 2030 yang bertujuan memodenkan sistem pendidikan teknikal dan vokasional negara bagi mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN