JOHOR BAHRU, 14 Julai – Beberapa hospital utama di Johor Bahru kini berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan yang disifatkan sebagai serius dan kritikal, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menerusi satu lawatan mengejut ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, hospital pakar kedua terbesar di negeri itu beliau mendedahkan realiti semasa yang membimbangkan melibatkan beban tugas luar biasa ditanggung petugas barisan hadapan kesihatan.
Antara isu utama yang dikenal pasti termasuk kekurangan petugas dalam pelbagai kategori kritikal seperti doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan anggota sokongan lain.
“Sebagai contoh, terdapat jururawat yang terpaksa menguruskan antara 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8. Keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas, tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika berlarutan,” tegas beliau dalam satu hantaran di laman Facebook selepas lawatan tersebut bersama Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon.
Jelas beliau, tekanan kerja yang tinggi memberi kesan bukan sahaja kepada moral petugas, malah turut menjejaskan kualiti rawatan yang diterima pesakit.
Kerajaan Negeri, kata beliau, memandang serius perkara ini dan akan terus memberikan sokongan dari segi fasiliti serta keperluan kesihatan yang mendesak. Selain itu, isu kekurangan tenaga kerja kesihatan juga akan dibawa ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan berkaitan.
“Saya sendiri akan merayu agar pengisian jawatan kesihatan di Johor dapat disegerakan tanpa kompromi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan atas usaha dan dedikasi berterusan dalam memastikan sistem kesihatan negeri kekal berfungsi.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memperjuangkan sistem kesihatan yang cekap, saksama dan mampan demi kepentingan seluruh negeri dan Bangsa Johor,” katanya lagi.