fb fb fb fb fb

Mayat Zulkarnain ditemukan 16km dari lokasi ditarik ombak

Jenazah Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini

KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Mayat lelaki yang ditemukan di Pulau Kapas dekat Marang, Terengganu, pukul 4.00 petang tadi, disahkan sebagai Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, yang hilang ditarik ombak di Pantai Batu Burok, sini, semalam.

Pengesahan itu dilakukan oleh isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, sejurus selesai proses pengecaman kira-kira 6.30 petang tadi di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

"Alhamdullilah, Allah SWT kurniakan keajaiban, dapat temukan (mayat) dalam tempoh 24 jam. Alhamdullilah, sekarang ada jasad untuk dikebumikan. Doakan semoga Allahyarham (memperoleh) syahid, Insya-Allah.

"Terima kasih atas kerja keras semua pasukan dan doa daripada semua orang," ujar Nora Elina ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu, mayat Zulkarnain tiba di pekarangan Jabatan Forensik pada pukul 5.40 petang.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat pada jarak kira-kira 16 kilometer (km) dari lokasi mangsa ditarik ombak.

Kejadian pada pukul 11.20 pagi semalam berlaku selepas mangsa dikatakan bersiar-siar di pesisir Pantai Batu Burok bersama isteri dan dua anak berumur sembilan dan 11 tahun.

Mangsa dan keluarga yang berasal dari Kuala Lumpur berkunjung ke Terengganu buat kali pertama untuk bercuti serta urusan perniagaan.

Operasi SAR ditamatkan pada pukul 6.30 petang.

1902 MAYAT SAH 2
Isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit

ARTIKEL BERKAITAN
Bapa dua anak hilang ditarik ombak di Pantai Batu Burok

SITI AISHAH BINTI MD ISA