fb fb fb fb fb

Tabung Khas Konflik Manusia-Haiwan bernilai RM10 juta ditubuhkan

Nik Nazmi Nik Ahmad

BERA, 19 Februari- Tabung Khas Konflik Manusia-Haiwan bernilai RM10 juta ditubuhkan hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu petani dan pekebun kecil yang mengalami kerugian akibat pencerobohan haiwan seperti gajah.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, melalui tabung khas ini, petani dan pekebun kecil akan diberi pampasan mengikut nilai kerosakan yang dialami mereka.

Ketika ini, petani dan pekebun kecil mendapat bantuan daripada agensi lain seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM).

"(Pihak) kita merasakan, untuk mengelakkan konflik ini menjadi semakin serius atau masyarakat kampung mengambil tindakan di tangan mereka sendiri, jadi perlu ada sistem. Sekurang-kurangnya sagu hatilah kepada mereka apabila mengalami kerugian.

"Alhamdulillah, Kementerian Kewangan memperuntukan sebanyak RM10 juta, telah pun diumumkan.

"Baru-baru ini, kita ada perbincangan untuk mekanisme peroperasian tabung ini. Kita (juga) telah menerima permohonan dan sedang menilainya," katanya kepada emberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia 2024 di Tapak Ramsar Sedunia 2024 di Tasik Bera, sini.

Ujarnya, Malaysia bertuah kerana mempunyai kekayaan ekosistem tanah lembap yang luas meliputi keluasan lebih 5.19 juta hektar.

Tujuh kawasan tanah lembap telah diiktiraf sebagai Tapak Ramsar di Malaysia iaitu Tasik Bera (Pahang); Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai (Johor); Kuching Wetlands National Park (Sarawak); selain Lower Kinabatangan-Segama Wetland dan Kota Kinabalu Wetland (Sabah).

Kerajaan juga sedang meneliti cadangan tapak ramsar baharu iaitu Semenanjung KLIAS (Sabah); Loagan Bunut dan Sarikei (Sarawak).

SITI AISHAH BINTI MD ISA