fb fb fb fb fb

Media Malaysia-Indonesia komited perangi berita palsu

Delegasi media Malaysia membuat kunjungan hormat ke Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) di Jakarta pada Program Jejak Serumpun / Foto ISWAMI

JAKARTA, 19 Februari - Media Malaysia-Indonesia komited memerangi berita palsu dalam menjaga nama baik melibatkan kedua-dua negara serumpun yang memiliki persamaan budaya.

Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Budi Arie Setia berkata peranan media disifatkan sebagai kekuatan keempat (the fourth estate) dalam membangun negara demokrasi.

“Nilai hubungan media jurnalistik Malaysia dan Indonesia dapat dijaga agar saling aman antara satu sama lain, mencari pengertian yang sama kerana kedua-du negara ini semakin baik dan kita hidup serumpun bahkan bersifat kekeluargaan.

“Apatah lagi apabila budaya kita begitu dekat,” katanya ketika ditemui dalam sesi lawatan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di Kementerian Komunikasi dan Informatika (Kominfo) di sini pada Isnin.

Delegasi media Malaysia, seramai 15 wartawan melawat ke ibu pejabat kementerian itu buat pertama kalinya sempena Program Jejak Serumpun.

Dalam pertemuan santai selama 2 jam itu, Budi turut berkongsi minatnya terhadap industri seni di Malaysia misalnya penyanyi Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid dan Kumpulan Iklim.

Delegasi media Malaysia juga turut berkongsi pengalaman selama 8 hari di republik ini yang meliputi aspek Pemilihan Umum (Pemilu) bagi Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 serta industri media Malaysia dan Indonesia.

ISWAMI adalah forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia, berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN