fb fb fb fb fb

Masyarakat dinasihat utamakan penjagaan buah pinggang - Raja Perlis

KANGAR, 16 Jun- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah menasihati seluruh rakyat supaya mengambil langkah pencegahan lebih awal menjaga kesihatan buah pinggang.

Titah baginda, penjagaan organ berkenaan sering dipandang remeh oleh masyarakat malah apa yang lebih membimbangkan, ‘pembunuh senyap’ ini tidak menunjukkan sebarang simptom yang jelas sehinggalah ia dikesan menerusi pemeriksaan kesihatan.

"Buah pinggang merupakan antara organ penting dan berperanan mencuci darah dari sisa buangan serta lebihan air yang diperlukan tubuh seseorang.

"Di Malaysia setiap hari sekurang-kurangnya 10 orang penduduk didiagnos mengalami kerosakan buah pinggang kronik atau di peringkat lima dan memerlukan rawatan dialisis berterusan," titah baginda pada Majlis Perasmian Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Mohd Fikri Ujang, barisan exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Tuanku Syed Sirajuddin berharap pusat dialisis berkenaan mampu menampung jumlah pesakit sedia ada dan memberikan keselesaan serta kemudahan terbaik.

"Alhamdulillah, beta difahamkan pusat ini mempunyai kapasiti 69 buah katil dan mesin dialisis untuk pesakit pada setiap waktu," titah baginda.

Beta berharap pusat dialisis ini mampu menampung jumlah pesakit sedia ada dan memberikan keselesaan serta kemudahan terbaik.

Sementara itu, Dr Mohd Fikri berkata pusat dialisis berkenaan yang merupakan inisiatif MAIPs dan HTF telah siap dibina pada tahun 2020 dan mula digunakan bermula 17 Ogos 2020.

(Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail)

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada pengurusan MAIPs terutamanya Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs dan semua pihak yang merealisasikan pusat dialisis itu.

Titah baginda, sikap prihatin dan kasih sayang ditunjukkan pewakaf harus dipuji, dicontohi dan perlu disuburkan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau projek pembinaan pusat dialisis itu telah menelan belanja sebanyak RM6.2 juta dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan. -BERNAMA

Media Baharu