fb fb fb fb fb

Masyarakat diingat jaga sensitiviti isu nahas pelajar UPSI

Keadaan di kawasan semasa kejadian kemalangan yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik. /Foto BERNAMA

MUALLIM, 14 Jun- Masyarakat diingatkan agar berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang hantaran di media sosial berhubung tragedi nahas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, orang ramai perlu menghayati konsep ihsan Madani yang menekankan sifat empati terhadap mereka yang ditimpa musibah.

Beliau mahu semua pihak berhenti daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mengundang perbalahan.  

"Noktahkan, apa-apa usaha atau tindakan yang sebenarnya berlawanan dengan adab, etika, dan juga adab seorang melayu dan juga sebagai seorang islam. Apabila ingin memberikan komen memberikan pandangan, ingatlah konsep ihsan sebagai salah satu tonggak utama madani yang melihat dari kaca mata empati dan keihsanan," katanya.

Beliau mengulas tindakan seorang guru di Perak yang membuat hantaran jelik di media sosial berkaitan pelajar UPSI yang maut dalam nahas di Gerik, Isnin lalu.

Polis mengesahkan telah membuka dua kertas siasatan berhubung perkara tersebut bawah Seksyen 504 kanun keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

SITI NOORAIN ABDULLAH