KUALA LUMPUR, 14 Jun- Kerajaan bersetuju memperuntuk RM30 juta kepada organisasi media di negara ini bagi melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu itu sejajar dengan usaha memperkasa ekosistem dan kelangsungan media negara.
"Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM30 juta untuk wartawan khususnya golongan muda. Dalam ingatan saya sejak dari merdeka, ini adalah peruntukan terbesar yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan kepada wartawan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata inisiatif itu akan disertai dengan latihan dan pendedahan khusus terutama kepada wartawan muda agar mereka dapat bersaing dan menyesuaikan diri dengan landskap teknologi baharu.
"Saya bersetuju memperuntuk dana yang besar bagi membantu organisasi media dan negara. Pada awalnya dimulakan dengan SIGMA sebagai langkah awal.
"Secara umumnya, supaya transformasi digital itu berlaku dengan bantuan dan dana kerajaan menerusi latihan serta pendedahan kepada wartawan terutamanya golongan muda," jelas beliau lagi.
Mekanisme pengagihan peruntukan itu akan diperincikan Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat.