fb fb fb fb fb

Masjid di Perak digalak tubuh koperasi sendiri untuk menjana pendapatan

(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan
Koperasi Negeri Perak Tahun 2023 di Ipoh, malam tadi)

IPOH, 10 Mei- Kerajaan negeri Perak menggalakkan pengurusan masjid di negeri itu menubuhkan koperasi sendiri untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kewujudan koperasi itu dapat memberi manfaat kepada ahli kariah masjid berkenaan seperti melalui pembayaran dividen hasil keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan.

"Paling kurang pun pihak pengurusan masjid apabila koperasi ditubuhkan boleh buka kedai runcit di dalam kawasan masjid. 

"Sebagai contoh Masjid Nurussalam Batu 4 di Gerik yang membuka pasar mini menjual barangan keperluan harian dan medapat keuntungan seterusnya boleh mengeluarkan dividen kepada ahli koperasi," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak Tahun 2023 di Ipoh, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Salbiah Mohamed.

Terdahulu, dalam ucapannya Saarani mengumumkan insentif penghargaan berjumlah RM33,000 kepada 11 koperasi tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik di Malaysia bagi 2022.


(Datuk Seri Saarani ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri
Perak Tahun 2023 di Ipoh, malam tadi)

Ujarnya, insentif itu sebagai menghargai sumbangan koperasi berkenaan kepada peningkatan sosioekonomi ahli koperasi di negeri ini.

Sementara itu, Saarani berkata penyertaan koperasi dalam aktiviti pertanian dan industri asas tani amat digalakkan bagi membantu kerajaan negeri memastikan bekalan makanan negara terus stabil dan boleh diperoleh dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata kerajaan negeri meletakkan sekuriti makanan sebagai agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memastikan rakyat dibekalkan dengan keperluan makanan yang bukan sahaja mencukupi tetapi juga dijual dengan harga yang berpatutan.

Media Baharu