KUALA LUMPUR, 10 Mei - Satu prosedur operasi standard (SOP) bakal diwujudkan bertujuan membendung aktiviti perlombongan haram di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata langkah penguatkuasaan juga akan ditambah baik bagi menjaga sumber mineral negara.
“Kerajaan memandang serius berhubung isu ini dan pihak kita akan mempertingkatkan penguatkuasaan. Pada masa yang sama, kita juga akan keluarkan SOP berhubung perlombongan terutamanya lombong kritikal seperti ini," katanya pada pemberita selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Muhibah, di sini, pada Selasa.
Mesyuarat Majlis Mineral Negara yang berlangsung semalam telah mengenalpasti sebanyak 60 tapak perlombongan haram di seluruh negara dengan kebanyakannya dilaporkan di Kedah.
Perbincangan lanjut katanya bakal dilakukan melibatkan input dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA).