KEMAMAN, 30 November- Masalah perumahan generasi kedua dan ketiga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan diberi keutamaan dan perhatian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus mengangkat martabat FELDA sebagai kubu kuat melalui pelbagai program penjanaan ekonomi masyarakat Melayu.
Perancangan kerajaan bukan sahaja membabitkan isu perumahan generasi kedua, malah merangkumi semua perkara termasuk pendidikan dan perkembangan.
"Banyak cerita kita dengar mengenai FELDA, apa yang telah kita lakukan. Tetapi dengan pengumuman yang lain tidak boleh dibuat, kita akan lakukan pada masa akan datang. Kita akan guna sedaya upaya kita, bawa perubahan ke arah kebaikan. Apa-apa yang rakan-rakan, keluarga FELDA telah putuskan sangat penting," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra bersama komuniti FELDA dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Dewan Sivik Felda Seberang Tayor di sini.
Lebih 1,000 komuniti hadir pada progam berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Pengurusi KETENGAH, Datuk Seri Ahmad Said.