fb fb fb fb fb

Masalah brek dipercayai punca treler terjunam dari jejambat

IPOH, 19 Ogos- Masalah brek dipercayai menjadi punca nahas membabitkan sebuah treler yang terjunam dari jejambat di Kilometer 271.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian menyebabkan pemandu treler berusia 50 tahun mengalami cedera ringan.

Maklumat awal berhubung kejadian itu diterima pihaknya daripada anggota Peronda Lebuh Raya (EMPV) yang sedang melakukan rondaan di kawasan tersebut.

"Ketika kejadian, treler berkenaan dalam perjalanan menghala ke utara sebelum terbabas dan terjunam ke jalan persekutuan," katanya.

(Keadaan treler selepas terbabas dan terjunam dari jejambat)

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menerusi satu kenyataan berkata, pemandu lori treler tersebut mempunyai 22 rekod saman trafik.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati pemandu treler bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol.

Insiden pada pukul 12.40 tengah hari tadi bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Media Baharu