fb fb fb fb fb

Jelajah AKM Selangor buka tirai hari ini sehingga Ahad

SHAH ALAM, 19 Ogos- Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor membuka tirainya hari ini dengan pelbagai program dan aktiviti menarik.

Acara berlangsung di tapak karnival perkarangan Stadium Shah Alam sehingga Ahad ini dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam.

Antara aktiviti menarik termasuk Jualan Murah Keluarga Malaysia, Jualan Citarasa Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Jelajah AKM Selangor menjadi tumpuan buat pengunjung dalam kalangan belia mencari peluang pekerjaan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dan bergambar
bersama pengunjung Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor)

"Saya tahu program ini dari media sosial, sebenarnya sekarang ini kami aktif mencari kerja, jadi terjumpa iklan Karnival Kerjaya ini dan terus datang ke sini," kata salah seorang pengunjung, Azraf Syauqi.

Seorang lagi pengunjung, Azri Ariffin berharap agar program seumpamanya terus diperbanyakkan.

"Bagi saya, program begini sangat membantu graduan yang baru sahaja tamat pengajian dan sedang mencari kerja, jadi ia boleh diperbanyakkan," katanya.

Terdapat 109 aktiviti disediakan kepada pengunjung sepanjang tiga hari Jelajah AKM Selangor.

Ia melibatkan kira-kira 100 pempamer terdiri daripada usahawan industri kecil dan sederhana.

Edisi ke-8 Jelajah AKM itu mengetengahkan tema 'Usahawan Keluarga Malaysia Penggerak Ekonomi Negara'.

Media Baharu