JOHOR BAHRU, 5 Mei- Operasi Mencari dan Menyelamat, SAR tiga kru kapal tangki MT Pablo yang hilang sejak lima hari lalu masih diteruskan Pasukan Tindakan Khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM).
Usaha mencari mangsa di dalam kapal masih belum boleh dijalankan, berikutan keadaan kapal yang terbakar sejak 1 Mei lalu, belum lagi selamat.
Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria memaklumkan, operasi turut melibatkan usaha memadamkan kebakaran dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Laut.
Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat juga telah dimaklumkan untuk memohon bantuan pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Indonesia kerana kemungkinan mangsa hanyut ke perairan Tanjung Pinang.
Usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua buah bot ronda milik Maritim Malaysia dengan keluasan sektor pencarian adalah 393 batu nautika persegi.
Tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang adalah Satyam Tripathi, 26 tahun dan Dinesh Kumar Chauhan, 34 tahun masing-masing merupakan warganegara India manakala seorang lagi mangsa warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37 tahun.
(Foto Ihsan MARITIM)