KEMAMAN, 5 Mei- Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam cerun di laluan Cerul, Kemaman, Terengganu pada petang Khamis.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 6.50 petang, dipercayai kenderaan berkenaan dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata kenderaan jenis Ford Ranger yang dipandu mangsa, Gunalan A/L Sagaran,40, dikatakan telah hilang kawalan lalu terjunam ke dalam cerun pada kedalaman kira-kira 12.7 meter.
"Ekoran daripada kemalangan tersebut, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Ia susulan kecederaan di bahagian kepala dan dada akibat hentakan kuat," kata Hanyan ketika dihubungi RTM, mengesahkan insiden kemalangan itu.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
(Mangsa ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialaminya)