JOHOR BAHRU, 5 Mei - Formula baharu pertukaran syif bagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kaunter Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor Bahru, akan di umum minggu depan.
Langkah itu bagi memastikan semua kaunter beroperasi pada waktu puncak, sekali gus mengelak kesesakan trafik.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata ketika ini pertukaran syif berlaku pada pukul 7.00 pagi, iaitu waktu puncak.
Seramai 100 pegawai baharu yang tamat latihan hujung bulan ini juga akan ditempatkan di BSI dan KSAB bagi menampung kekurangan kakitangan.
Manakala 113 lagi ditempatkan di lokasi-lokasi kritikal termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Untuk masa hadapan telah ada lagi perjawatan yang telah diluluskan kerajaan Insya-Allah kita ada sasaran dari semasa ke semasa kita tambah baik. Perjawatan baru ada diluluskan kerajaan lebih kurang 700 orang tahun ini, pada tahun ini kita mahu latih dengan segera," kata Ruslin.
(Ruslin bercakap dalam sidang media selepas meninjau BSI, Johor Bahru)
Ketika ini 273 perjawatan masih belum diisi di BSI.
BSI mempunyai 284 kaunter di kedua-dua laluan, merekodkan lebih 27.2 juta pergerakan keluar masuk pelawat sejak 1 Januari hingga 3 Mei.