KUALA KURAU, 4 Julai- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), menahan sebuah bot bersama tiga nelayan warga Myanmar di kedudukan 8.7 batu nautika barat Pulau Terong di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohamad Najhan Azman Hamid menerusi kenyataan memaklumkan, "semasa melaksanakan rondaan rutin di perairan larut matang, pihaknya mengesan sebuah bot di kawasan tersebut."
Hasil pemeriksaan mendapati, seramai tiga kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong masing- masing berumur 21 hingga 40 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Bagaimanapun, bot berkenaan memiliki lesen yang sah tetapi tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran menggajikan pekerja warga asing.
Kesemua nelayan, bot serta peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
(Bot yang ditahan Maritim Malaysia di Pulau Terong/Foto Maritim Malaysia)