fb fb fb fb fb

Mangsa culik warga Indonesia diselamatkan Polis Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 22 September- Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan mangsa culik dalam Op Scorpion Rantai Penang menerusi operasi di sebuah rumah dekat Shah Alam, Selangor, 17 September lalu.

14 suspek ditahan termasuk dalang penculikan yang dipercayai mengurung wanita Indonesia tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 36 tahun itu, diculik sekumpulan lelaki ketika berada di Relau pada 7 September lalu untuk dijadikan tebusan.

Mangsa kemudian dikurung di beberapa lokasi membabitkan rumah di Butterworth, Puchong dan Shah Alam.

Perkara itu disebabkan masalah hutang perniagaan lebih RM500,000 ditanggung suaminya yang juga warga Indonesia, bersama seorang lelaki tempatan.

Suspek kemudian enggan melepaskan mangsa walaupun suaminya telah membayar sejumlah RM50,750 kepada suspek menerusi dua transaksi.

Bagaimanapun suami mangsa membuat laporan polis pada 15 September lalu.

"Mereka menculik mangsa untuk meminta hutang daripada suaminya. Kalau dilihat kecederaan yang dialami mangsa, seluruh badan dicucuh dengan puntung rokok dan dipukul dengan paip," katanya kepada pemberita di sini.

Ke semua suspek terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 70 tahun itu, direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

(Datuk Khaw Kok Chin)

Media Baharu